Pastikan kuda anda selesa membawa beban di belakangnya

Sebagai pemilik, atlet atau peminat sukan berkuda, kita hendaklah mengambil berat tentang kebajikan kuda dan mengambil tahu jumlah kerja yang sesuai untuk kuda yang kita naiki. Pada artikel kali ini, kami membincangkan tentang berapa berat tanggungan yang mampu ditampung oleh seekor kuda dari baka standard (yang biasa digunakan untuk sukan ekuestrian).
Berapakah berat yang boleh ditanggung oleh seekor kuda?
Dalam satu penilaian oleh Powell et al. (2008) berkenaan kemampuan kuda menanggung sesuatu beban, lapan ekor kuda bersaiz 400-625kg ditunggang dan diletakkan beban yang berlainan berat di belakangnya iaitu sebanyak 15 ke 30 peratus daripada berat badan kuda-kuda tersebut.

Pita yang digunakan untuk mengukur kuda dan anggaran beratnya
Hasil penilaian mereka menemui apabila kuda membawa beban sebanyak 15% – 20% daripada berat badannya, kuda tidak menunjukkan tanda-tanda stres. Manakala jika beban tanggungan ditambah sehingga 25% dan lebih, tanda-tanda fizikal berubah dengan ketara seperti pernafasannya cepat mengah dan kadar degupan jantung bertambah laju.
* Beban yang dimaksudkan adalah berat bersama penunggang dan peralatan (tack).
Jadi berapakah berat badan yang sesuai untuk menunggang kuda?

Clara, ex-polo chestnut mare
Kuda dalam gambar ini adalah Clara, dan anggaran beratnya adalah 400kg. Berapakah berat yang boleh ditanggung olehnya? Aplikasikan panduan 20% daripada berat badan kuda.
20% x 400 kg = 0.2 x 400 kg = 80 kg
Berat tanggungan yang boleh dibawa oleh Clara dengan selesa di belakangnya adalah 80kg*. Tanggungan yang dimaksudkan adalah termasuk penunggang dan juga peralatan (tack) yang dipakaikan ke atas kuda. Jika berat peralatan adalah 10kg, berat penunggang tidak boleh melebihi 70kg.
* Ini adalah berat maksimum, dengan andaian bahawa penunggang mempunyai imbangan badan yang baik, berat kuda adalah ideal, dan saiz peralatan sesuai dengan kuda dan penunggang. Faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi adalah konformasi, kecergasan dan kesihatan kuda.
Tujuan garis panduan
Garis panduan ini diterbitkan untuk mengukuhkan amalan terbaik ke arah kebajikan, kesihatan dan keselamatan kuda dan penunggangnya. Sebagai rujukan dan maklumat jelas kepada atlet, jurulatih, pemilik kuda, ibu bapa, hakim pertandingan, pegawai berkaitan dan orang awam tentang aspek kebajikan kuda dan kapasiti tanggungannya.
Rujukan:
Equestrian Australia Dressage Committee, 2022. Guide to Horse Capacity – Size of Athlete.
Good Horse, 2017. How much weight can my horse carry? https://good-horse.com/tools/calculator-much-weight-can-horse-carry/
Jaqueth, A. 2019. Guidelines for weight-carrying capacity of horses. https://extension.umn.edu/horse-care-and-management/guidelines-weight-carrying-capacity-horses
Powell, D.M., Bennett-Wimbush, K., Peeples, A., and Duthie, M.. 2008. Evaluation of Indicators of Weight-Carrying Ability of Light Riding Horses. Journal of Equine Veterinary Science. 28(1): 28-33.
Leave a Reply