Patutkah kuku kuda dibiar kering atau lembap?
“No hoof, no horse” satu frasa yang selalu kita dengar setiap kali bercakap mengenai kuku dan kaki kuda. Iklim Malaysia mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Di bawah ini ada beberapa garis panduan penting untuk penjagaan kuku kuda.
Bersihkan kaki kuda sekurang-kurangnya sekali sehari, atau setiap kali sebelum menunggang untuk memastikan tiada batu atau kotoran dari lumpur terlekat di bawah telapuknya dengan menggunakan pencungkil kuku (hoof pick). Pada masa yang sama, periksa ladamnya untuk memastikan sama ada ianya haus, longgar atau tercabut.
Berhati-hati apabila menggunakan minyak kuku (hoof oil). Pilih minyak yang baik dan berbau seperti minyak semulajadi (bahan organik), bukanlah yang berbau petrol. Sapukan selapisan pada kuku dengan berus terutamanya pada jalur koronet (coronet band) dan ratakan ke permukaan luar dan bawah kuku.
Minyak kuku boleh membantu untuk menambah ketahanan kuku terhadap persekitaran yang lembap dan kering, mengembalikan keanjalan, memulihkan dan membaiki kuku yang rosak.
Kuku kuda perlu diasah dan dirapikan setiap 4-6 bulan untuk memastikan keseimbangan kaki yang baik. Ikutlah jadual perladaman yang telah disarankan oleh juruladam untuk mengekalkan kesihatan kukunya pada tahap optimum. Dengan ini risiko ketempangan dan sakit kaki boleh dikurangkan.
Pastikan ladam terletak pada kedudukan yang betul, dipakaikan sesuai dengan kerja atau sukan yang dilakukan oleh kuda anda.
Suplemen biotin mengambil masa untuk memberi kesan. Pastikan ia diberi setiap hari selama 6-12 bulan untuk hasil terbaik.
Ramai orang percaya bahawa jika bulu di sekeliling jalur koronet dipotong, kuku kuda akan menjadi cepat kering. Ada juga pendapat mengatakan ia menjadikan kuku lebih sensitif. Apapun pilihan anda, pastikan kawasan koronet bersih daripada lumpur dan kemas.
Sediakan habuk kayu (sawdust) untuk kuda di dalam kandangnya. Habuk kayu yang bersih dan kering mempunyai kemampuan untuk menyahkan kelembapan daripada kaki kuda. Ketaman kayu juga mempunyai fungsi yang sama.
Perhatikan jika ada sebarang tusukan, bau busuk atau sebarang jangkitan pada kuku kaki kuda. Maklumkan kepada juruladam dan doktor haiwan jika ada sebarang masalah berkaitan yang dikenalpasti.
Rujukan:
- Penerbitan Majlis Ekuin Malaysia. (1996, Vol 3). Farrier’s facts. EKUIN. 52.
- Equisearch. (2017). Hoof Health and Wet Conditions. Retrieved February 10, 2022, from https://www.equisearch.com/articles/hoof-health-and-wet-conditions-18678
- Jump Media. (2021). Put Your Best Foot Forward: How to Keep Horse’s Hooves Strong Through Summer. Retrieved February 10, 2022, from https://www.theplaidhorse.com/2021/07/20/put-your-best-foot-forward-how-to-keep-horses-hooves-strong-through-summer/
- Kentucky Equine Research. (2002). Hoof Dressings: Helpful, Harmful, or Humbug? Retrieved February 10, 2022, from https://ker.com/equinews/hoof-dressings-helpful-harmful-humbug/
- METMalaysia
Leave a Reply