Keselamatan diri dan kuda diutamakan semasa kerja perladaman

Keselamatan diri dan kuda diutamakan semasa kerja perladaman

SERDANG, 13 Februari – Kerja-kerja perladaman bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah kerana pekerjaan itu sendiri adalah sangat penting dalam industri ekuin. Semasa menjalankan kerja di bengkel, juruladam hendaklah mengikuti langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

Pada 12-13 Februari 2022, Majlis Ekuin Malaysia telah menganjurkan Kursus Keselamatan Open Forging bagi mereka yang pernah menyertai Kursus Orientasi Asas Perladaman. Kursus susulan ini bertujuan mendedahkan peserta kepada kebarangkalian kemalangan dan kecemasan yang boleh berlaku di bengkel perladaman. Tambahan kepada kursus ini adalah amali membentuk ladam kuda mengikut tapak Norman, Spike, Stubby, Tag dan Ralph serta cara menempa klip pada ladam yang panas.

Bentuk-bentuk tapak kuda

Antara perkara yang disentuh semasa Kursus Keselamatan Open Forging,

  • Keselamatan di bengkel
  • Peti kecemasan bantuan awal
  • Peralatan perlindungan diri (PPE)
  • Pengendalian dapur tempa (forge)
  • Penjagaan kuku kuda
  • Pembentukan ladam yang sesuai dengan tapak kuda

Antara bahaya (hazard) yang terdapat di bengkel adalah seperti getaran, kecederaan mata akibat daripada serpihan besi, masalah ergonomik seperti postur badan yang kekok, dan gangguan pendengaran. Tempaan panas (hot forging) melibatkan pembakaran bahan api yang mungkin menghasilkan karbon monoksida, jadi amat penting bagi sesebuah bengkel untuk mempunyai pengudaraan yang baik.

Keselamatan bengkel yang dititikberatkan sewaktu melakukan Open Forging adalah seperti di bawah.

1) Pemakaian PPE

PPE ataupun Personal Protection Equipment ialah seperti apron, kasut keselamatan, sarung tangan yang sesuai, gogel sebagai pelindung mata dan alat penutup telinga (earplugs/earmuffs).

2) Peti kecemasan

Sentiasa kemaskini ubat dan peralatan di dalam peti kecemasan. Letakkan di tempat yang selamat dan mudah dicapai. Ia akan membantu anda untuk memberikan rawatan awal jika berlaku kemalangan.

3) Alat pemadam kebakaran

Alat pemadam api yang biasa disediakan di bengkel adalah dari jenis Serbuk Kering (Dry Powder). Jenis ini bertindak melemaskan api dengan menutup permukaan punca kebakaran dan memutuskan kitaran hayat api iaitu haba, bahan api dan oksigen.

4) Susun atur dan kemudahan di bengkel kerja

Keadaan bengkel perlu kemas dan bersih dengan tidak membiarkan alatan tajam dan alatan panas diletakkan merata-rata. Tempat untuk melakukan kerja perlu dibersihkan dengan baik; lantai tidak berminyak, licin atau berselerak, dan alatan-alatan yang telah digunakan dikembalikan ke tempat yang sepatutnya. Ladam kuda yang sudah dicabut dan masih berpaku hendaklah ditelangkupkan agar tidak membahayakan kuda dan manusia.

Petugas bengkel perlu mengambil tahu kesesuaian tempat menyimpan peralatan. Sebagai contoh, alatan yang mudah terbakar tidak boleh disimpan di tempat yang berdekatan dengan bahan bakar. Susun atur bengkel haruslah dititikberatkan supaya ianya tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja.

5) Pengendalian dapur tempa

Perkakas dan mesin hendaklah diperiksa sebelum memulakan kerja. Pastikan tiada kebocoran gas dan kerosakan.

6) Pakaian, barang kemas dan perhiasan

Pakaian yang sesuai dan kemas memudahkan juruladam melakukan kerja di bengkel. Rambut dan tudung hendaklah diikat kemas supaya tidak mengganggu kerja. Aksesori perhiasan seperti rantai, jam, gelang dan sebagainya adalah tidak digalakkan.

7) Postur badan

Ubah postur dan aras bekerja dari semasa ke semasa. Berehatlah setiap 45 minit dan lakukan sesuatu yang berbeza dari semasa ke semasa.

8) Tatatertib

Peringatkan orang lain untuk tidak menggangu kuda sewaktu ladam sedang dipasang. Juruladam perlu bekerjasama dengan pemilik dan juruladam lain ketika menjalankan tugas.

Rujukan:

Jurulatih Perladaman Majlis Ekuin Malaysia, Bengkel Keselamatan Open Forging, February 12-13, 2022

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kementerian Sumber Manusia Malaysia, Garis Panduan bagi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Dikemaskini pada tahun 2006.

Lewton-Brain, C., Hammering and Forging Safety Guidelines. Retrieved February 15, 2022, from https://www.ganoksin.com/article/hammering-and-forging-safety-gudelines/

Blacksmith Code, Forging Safety Rules, 2021. Retrieved February 15, 2022, from https://blacksmithcode.com/forging-safety-rules/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *