Majlis Ekuin Malaysia sebagai Badan Peneraju Industri bagi Sektor Ekuin
SERDANG, 16 Februari – Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa Majlis Ekuin Malaysia (MEM) telah dilantik sebagai Badan Peneraju Industri (ILB) bagi sektor ekuin oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi tempoh tiga tahun bermula dari Januari 2021 sehingga Disember 2023.
Lanjutan daripada itu, MEM menyeru semua pemain industri ekuin agar dapat memberi kerjasama dan menyokong, serta berganding bahu dan berusaha memangkin pembangunan sumber manusia mahir melalui Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia ke taraf yang lebih tinggi.
Sebagai ILB, MEM diberi peranan seperti berikut:
- Memberi nasihat dan maklumat terkini berkaitan industri kepada JPK terutamanya bagi perkara yang melibatkan hal ehwal latihan kemahiran,
- Sebagai Jurucakap mewakili majikan dan pekerja bagi bidang industri yang diwakili,
- Bekerjasama dengan JPK bagi membangunkan sumber manusia dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir,
- Menjadi penghubung dalam memberi maklumbalas secara terus kepada JPK supaya pembangunan standard pekerjaan berasaskan kepada keperluan sebenar industri,
- Mempromosikan Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) kepada industri.

Sijil Lantikan ILB – MEM
Seperti yang sedia maklum, Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) diwartakan pada 29 November 2015 dan telah dikuatkuasakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bermula dari 1 Julai 2017 serta penguatkuasaan perlesenan untuk menjalankan aktiviti menunggang dan memelihara haiwan dalam kepungan bagi penguatkuasaan Bahagian III akta ini dan Peraturan-peraturan Kebajikan Haiwan (Fi Pelesenan) 2021 bermula Januari 2022. Justeru, MEM sebagai badan bertanggungjawab berkaitan ekuin, amat prihatin kepada semua pemain industri ekuin agar mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mematuhi standard dan spesifikasi yang telah diwartakan ini. Ianya bertujuan menyelaras ketetapan perundangan negara demi kebajikan dan pengurusan binatang seperti yang dinyatakan dalam Jadual (Seksyen 15) Akta 772 ini.
Leave a Reply