“Kuda-kuda ini nanti siapa yang akan jaga kalau kita pergi bercuti?”

“Kuda-kuda ini nanti siapa yang akan jaga kalau kita pergi bercuti?”

Lebih kurang begitulah kegusaran hati seorang pemilik kuda yang sudah hampir setahun memelihara kuda di tanah persendirian. Ada empat ekor semuanya. Perancangan bersama keluarga adalah untuk pulang berhari raya di kampung halaman selama lima hari, tetapi apa pula perancangannya untuk memastikan kuda-kuda itu selamat dan sihat?

Sebagai pemilik kuda dan seorang ekuestrian, kita perlu faham dengan adanya haiwan domestik dalam kepungan kita, kita telahpun memegang amanah untuk menjaga kebajikannya dan menyediakan keperluannya setiap hari tanpa cuti. Memelihara kuda memerlukan peruntukan masa dan kewangan serta pengorbanan.

Kandang yang menyediakan ruang berasingan untuk setiap ekor kuda

Bolehkah kuda ditinggalkan tanpa pengawasan?

Kuda peliharaan tidak boleh ditinggalkan tanpa pengawasan walaupun hanya untuk dua hari pada hujung minggu. Jika anda perlu pergi ke luar kawasan selama beberapa hari sama ada untuk bercuti atau urusan kerja, pilihan berikut mungkin boleh membantu anda.

  • Boarding – Pindahkan sementara kuda peliharaan di stable yang beroperasi setiap hari. Ini adalah pilihan terbaik bagi seorang pemilik yang berkemampuan untuk menyewa stable, membayar caj pengangkutan dan upah pekerja. Pekerja harian akan membantu anda dari segi penyediaan makan dan minum kuda setiap hari, membersih alas kandang dan memberi perhatian kepada kuda anda.
  • Horse sitter – Jika anda lebih memilih untuk menyimpan kuda di tempat sendiri tanpa perlu memikir tempat pemindahan sementara dan caj pengangkutan, upahlah groom atau pengendali kuda yang berpengalaman dan dipercayai untuk menjaga dan mengawasi kuda-kuda ketika anda di luar kawasan.
  • Saudara, rakan & jiran – Jika anda mengenali rakan atau jiran yang tidak kemana-mana sewaktu anda bercuti, mintalah bantuan mereka untuk memeriksa keadaan kuda anda, menyediakan makan dan minum, dan membersihkan kandangnya. Calon yang terbaik adalah calon yang tahu asas pengurusan kuda dan ikhlas meluangkan masa dengan kuda. Calon juga perlu jelas akan keadaan yang memerlukan rawatan.

Membalut luka di kaki kuda

Kenapa kuda perlu diawasi selalu?

i) Keperluan asas seperti makanan dan air

Kuda minum 20-55 liter air setiap hari. Adalah penting untuk ia mendapat akses kepada bekalan air yang bersih. Makanan kuda hendaklah mengikut carta pemakanan yang telah ditetapkan. Kuda memerlukan hay atau makanan berserat setiap hari pada kadar 1-1.5% daripada berat badannya. Misalan seekor kuda adalah seberat 450kg, maka roughage atau hay yang perlu diberi setiap hari adalah sebanyak 4.5-6.75kg.

ii) Perubahan cuaca

Perhatikan tingkahlaku kuda ketika perubahan cuaca berlaku. Kuda yang mengalami tekanan haba (heat stress) mungkin menunjukkan tanda-tanda seperti bernafas melalui mulut, tercungap, penghasilan air liur yang banyak, mengelak tempat panas dan mencari teduhan, memercik air dalam takungan, dan kelihatan gelisah (restless). Sediakan tempat teduh yang mempunyai pengudaraan yang baik untuk kuda. Kuda yang berbulu tebal juga dinasihatkan untuk dicukur bulunya (clip) menggunakan clipper yang sesuai.

Tinggikan benteng di dalam stable

iii) Kecederaan di dalam stable, di padang rumput atau arena

Kecederaan boleh berlaku di luar mahupun dalam stable. Beri perhatian kepada hazard seperti bucu-bucu tajam, skru atau dawai besi yang terkeluar daripada konkrit. Hazard ini perlu ditutup atau dibuang dengan selamat. Sesetengah orang gemar membiarkan head collar atau halter pada kuda kerana memudahkan pengendaliannya. Adalah lebih baik ia ditanggalkan bagi mengelak keberangkalian tersangkut pada bucu. Kuda yang baring dan berguling terlalu rapat dengan dinding dalam stable mungkin boleh tersekat (cast) dan menjadikannya panik jika tidak dapat berdiri. Sediakan alas habuk kayu (bedding) yang tebal dan berbenteng supaya kuda mudah menggulingkan badannya untuk berdiri.

iv) Kesunyian boleh membawa kepada perubahan sikap

Kuda peliharaan yang diabaikan mungkin akan berasa tersisih, murung, cemas atau marah. Perubahan ini boleh memberi kesan terhadap kesihatannya.

Kuda berguling di dalam stable (Kredit: Karen Coombe / Horse & Hound)

Tanggungjawab pemilik kuda

  1. Menyediakan bekalan makanan yang cukup – Kilang dan kedai makanan kuda mungkin tidak beroperasi sepanjang musim perayaan. Jadi, adalah lebih baik untuk menambah stok sebelum anda pergi bercuti. Maklumkan kepada groom yang bertugas tentang keperluan diet kuda anda.
  2. Simpan nombor telefon person-in-charge – Jika anda menyimpan kuda di stable yang beroperasi setiap hari, dapatkan nombor telefon orang yang menguruskan kuda anda atau pengurus stable. Jika anda menyimpan kuda di premis sendiri, anda perlu menyimpan nombor groom yang diupah bagi memudahkan komunikasi sepanjang ketiadaan anda. Sekiranya mampu, pasanglah CCTV.
  3. Kenalpasti veterinar yang bertugas – Kadang-kadang jangkitan atau perubahan tingkahlaku kuda boleh berlaku pada masa yang tidak dijangka. Kenalpasti equine vet atau doktor ekuin yang bertugas supaya rawatan lanjut boleh dilakukan. Groom anda juga perlu berada di stable bagi membantu vet semasa rawatan.
  4. Pengurusan stable – Pastikan bekalan habuk kayu mencukupi untuk kerja pembersihan kandang setiap hari.

Bekalan makanan disimpan dengan selamat

Bekalan habuk kayu cukup sepanjang musim perayaan

 

 

 

 

 

 


Rujukan:

  1. Carmella Abel. Leaving Horses Unattended: What You Need to Know. Retrieved April 28, 2022, from https://equinehelper.com/leaving-horses-unattended/
  2. Cheryl. What to do With Your Horses When You Go On Vacation. Retrieved April 28, 2022, https://thelifestyledigs.com/horses-go-vacation/
  3. Kentucky Equine Research. Water Requirements for Horses: Five Important Facts. 2016. Retrieved April 29, 2022, https://www.equestrian.org.au/news/water-requirements-horses-five-important-facts
  4. Hygain. What Type of Roughage is Best for Your Horse. 2020. Retrieved April 29, 2022, https://hygain.com.au/blogs/library/fibre-important-horses
  5. Jennie Eilerts. How Weather Affects Your Cattle and Horses’ Stress. 2020. Retrieved April 29, 2022, https://proearthanimalhealth.com/how-weather-affects-your-cattle-and-horses-stress/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *