Bagaimana sakit gigi boleh menyebabkan kolik?

Kondisi pergigian seperti gigi patah atau tidak teratur selalu menjadi punca kuda hilang selera makan dan mengakibatkan berat badannya susut. Tanda-tanda biasa penyakit pergigian pada kuda adalah kesukaran untuk mengunyah atau ia mengunyah lebih perlahan daripada biasa.
Kadang-kadang kita boleh melihat kuda menelengkan kepalanya ke satu sisi menunjukkan bahawa ia rasa tidak selesa. Perbuatan ini akan mengumpulkan makanan yang sedang dikunyah ke sebelah dalam pipi dan kita akan melihat makanan itu terjatuh keluar daripada mulutnya (quidding). Makanan itu gagal ditelan seluruhnya.
Untuk mengelak daripada menggunakan gigi yang sakit, kuda akan menelan terus tanpa mengunyah makanan itu dengan lumat. Perbuatan ini boleh menyebabkan ia tersedak, ketidakhadaman dan mengakibatkan kolik. Tanda-tanda lain penyakit pergigian pada kuda adalah air liur yang sentiasa meleleh dan lendir yang mengandungi sedikit darah kerana kelukaan pada tisu dalam pipi dan lidah, disusuli dengan nafas berbau.
Kuda yang mengalami ketidakselesaan di gigi mungkin akan menolak sewaktu bit dipasangkan dan juga menggoyangkan kepalanya sewaktu ditunggang. Kehadiran gigi taring (wolf teeth) barangkali ada kaitan dengan tingkahlaku ini.

Sumber: MSD Veterinary Manual
Pemeriksaan gigi oleh doktor veterinar atau juruteknik pergigian (dental tecnician) secara berkala adalah penting untuk mengekalkan kesihatan kuda. Dua kali setahun, gigi kuda perlu diperiksa dan diasah untuk memastikan tiada permukaan gigi yang tajam dan mengekalkan permukaan gigitan yang sama rata. Prosedur mengasah gigi kuda dipanggil ‘floating’ atau ada juga yang memanggil ‘rasping’.
Ketahui lebih lanjut tentang kesihatan gigi kuda dan bagaimana ia berkait dengan kolik. Sertai kursus asas Equine Dentistry and Colic (klik pautan) pada 30 Mei 2022.
Pergigian kuda dalam catatan sejarah
Rekod definitif pertama berkaitan pergigian kuda dapat ditemui dalam manuskrip perubatan haiwan Cina yang terdahulu bertarikh sekitar 600 BCE. Dalam manuskrip itu ada menerangkan kaedah mengenalpasti usia kuda melalui perubahan pada giginya.
Sewaktu kegemilangan Empayar Rom, ahli falsafah seperti Aristotle ada menyebut tentang penyakit gigi dan gusi kuda dalam tulisannya. Menjelang Zaman Pertengahan, terdapat banyak teks islamik yang merujuk langsung kepada amalan mengasah gigi tajam dalam mulut haiwan. Ini membuktikan dengan jelas bahawa pengubahsuaian gigi yang disengajakan telahpun wujud pada waktu itu.
Rujukan:
- Easley, J. (October 2020). Dental Disorders of Horses. Retrieved May 11, 2022, from www.msdvetmanual.com/horse-owners/digestive-disorders-of-horses/dental-disorders-of-horses
- Tayler, W.T.T., Bayarsaikhan, J., Tuvshinjargal, T., Bender, S., Tromp, M., Clark, J., Lowry, K.B., Houle, J., Staszewski, D., Whitworth, J., Fitzhugh, W., and Boivin, N. (2 July 2018). Origins of Equine Dentistry. National Museum of Natural History. 115 (29) E6707-E6715.
Leave a Reply