Cuaca panas, dalam kandang pun kuda berpeluh
BERPELUH adalah cara semulajadi untuk kuda menyejukkan badan. Peluh turut berfungsi mengawal suhu badan terutama apabila suhu naik melebihi paras biasa.Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan kuda sentiasa sihat dan selesa ketika musim panas ini. Berikut adalah senarai perkara yang perlu dipertimbangkan:
a) Sediakan air minum yang cukup
Perut kuda boleh menampung antara 7 hingga 15 liter cecair tanpa menjadi terlalu buncit. Pastikan kuda mempunyai bekalan air bersih yang berterusan. Anda mungkin perlu menambah bekas air di dalam kandang, di padang ragut atau tempat berdekatan arena.
b) Tempat berteduh
Sediakan tempat berteduh untuk kuda. Jika kuda anda bebas di padang ragut, sediakan tempat berteduh (shed) agar kuda boleh berlindung daripada panas matahari. Pokok yang rimbun dan redup juga baik tetapi teduhan sebegini tidak tetap dan sentiasa bergerak mengikut kedudukan matahari. Pokok meninggalkan kesan penting kepada iklim dan mikroiklim. Silara pokok memerangkap sinaran matahari dan mengurangkan tenaga haba yang sampai pada permukaan tanah.
c) Pengudaraan
Di bangsal, sediakan kipas dan pastikan ia diletakkan di tempat yang selamat dan jauh daripada capaian kuda. Misting fan juga sangat efektif untuk menyejukkan suhu persekitaran. Pengudaraan yang tidak baik di kandang kuda akan mengakibatkan persekitaran yang tidak selesa, panas dan kepam.
Kelesuan Haba dan Strok Haba
Kelesuan haba adalah keadaan yang serius dan boleh berlaku jika kuda terdedah atau berkerja dalam keadaan yang sangat panas, lembap dan dalam tempoh yang lama. Kekurangan air dalam badan juga boleh menyebabkan kelesuan haba. Tanda-tandanya adalah seperti:
- Pernafasan yang pendek dan tercungap-cungap
- Hidung kembang-kempis dengan laju
- Suhu rektum meningkat yang tidak menampakkan penurunan ke suhu badan yang normal ( 37-38°C)
- Degupan jantung yang tidak teratur
- Kurang selera makan dan minum
- Kekejangan otot
Hal ini jika tidak diuruskan dengan segera, kuda mungkin akan mengalami strok haba. Kuda yang mengalami strok haba boleh menjadi berbahaya untuk dikendalikan kerana tingkah lakunya boleh menjadi agresif. Bekalkan air bersih yang cukup untuk kuda minum dan mandikan kuda untuk memberi ia kelegaan.
Kesimpulannya, kuda yang sihat boleh mengawal suhu badan sendiri akan tetapi sebagai pemilik ataupun pengendali kuda, kita bertanggungjawab untuk mengurusnya agar ia kekal sihat dan terjaga. Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos, susulan musim peralihan monsun. Semoga hantaran kali ini memberi manfaat kepada semua.
Rujukan:
- Martinson, K., Hathaway, M., Ward, C., Johnson, R. (2022). Caring for Horses During Hot Weather. University of Minnesota Extension. Retrieved on May 16, 2023, from https://extension.umn.edu/horse-care-and-management/caring-horses-during-hot-weather#provide-free-access-to-clean-water-1301060
- BHS (September, 2022). Horse Care in Hot Weather. The British Horse Society. Retrieved on May 15, 2023, from https://www.bhs.org.uk/horse-care-and-welfare/health-care-management/seasonal-care/summer-care/
- Hot Weather Horse Care Tips. World Horse Welfare. Retrieved on May 16, 2023, from https://www.worldhorsewelfare.org/advice/management/tips-for-caring-for-your-horse-in-hot-weather
- Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Malaysia
Leave a Reply