Jurulatih ekuestrian diwajibkan mengikuti latihan bantuan awal kecemasan dalam sukan
Sukan lasak ini memang tidak pernah sunyi daripada isu-isu kecederaan penunggang dan pengendali kuda termasuk kecederaan serius melibatkan gegaran otak, luka dan kecederaan tulang.
Latihan persediaan bantuan awal dalam sukan adalah amat penting untuk memastikan setiap jurulatih dan semua penggiat sukan berkuda mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya bagi membantu sesiapa sahaja yang tercedera atau mengalami kecemasan dan memastikan keadaan selamat sebelum bantuan perubatan lanjut tiba.
Kursus ini telah dilaksanakan pada 29 Julai 2024, hari Isnin, di Majlis Ekuin Malaysia, Serdang. Sijil Pertolongan Cemas adalah diwajibkan bagi semua jurulatih Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan yang mengikuti pentauliahan Equestrian Australia. MEM bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia bagi menjayakan kursus ini. Semua pihak yang mempunyai potensi untuk membantu atlet atau sesiapa sahaja yang mengalami kecederaan atau kecemasan semasa bersukan digalakkan mengikuti latihan pertolongan cemas.
Kursus ini menerapkan sistem bantuan awal yang efektif dan praktikal mengikut keutamaan kecemasan dalam aspek menjaga keselamatan dan meneruskan kelangsungan hidup semasa merawat mangsa yang tercedera. Pengajaran kursus ini merangkumi sesi perbincangan dan pembelajaran dalam kumpulan kecil, sesi praktikal dan perkongsian pengalaman.
Pada masa akan datang, diharap Kursus Latihan Pertolongan Cemas ini dapat diperkenalkan kepada lebih ramai penggiat sukan berkuda seperti jurulatih, pengurus ekuin, kakitangan yang bekerja di pusat menunggang kuda, juruladam, atlet dan orang awam yang berminat dengan latihan kemahiran dan akreditasi yang ditawarkan.
Leave a Reply