Penghasilan Biogas Tinja Kuda dan Cadangan Sumber Makanan Kuda yang Lebih Lestari

11 – 13 Jun 2025: Konvensyen TVET Madani 2025, bertempat di Melaka International Trade Centre, Melaka
Penyertaan Majlis Ekuin Malaysia sebagai Badan Peneraju Industri (ILB) sektor ekuin dengan diwakili oleh Profesor Madya Dr Rosmina Jaafar, Universiti Kebangsaan Malaysia, penasihat Kelab Ekuin UKM dan Timbalan Pengerusi Persatuan Terapi Berbantu Kuda Malaysia (PTBKM), telah membentang dua kertas kerja. Berikut adalah tajuk kertas kerja dan abstraknya:
i. Transformasi Pengurusan Biojisim Ekuin – Penghasilan Biogas daripada Tinja Kuda sebagai Pemacu Tenaga Hijau dibawah segmen Peralihan Tenaga dan Nadir Bumi
Kertas kerja ini membentangkan rangka kerja inovatif untuk penggunaan tinja kuda dalam
penghasilan biogas sebagai sumber tenaga hijau yang mampan. Industri ekuin yang berkembang di Malaysia menghasilkan tinja kuda dalam kuantiti yang besar, yang berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai bahan mentah dalam proses pencernaan anaerobik (AD). Rangka kerja ini merangkumi lima fasa utama iaitu pengumpulan dan pengasingan tinja kuda, pra-rawatan untuk meningkatkan degradasi bahan organik, penghasilan biogas melalui AD, pemantauan parameter operasi, serta pengumpulan dan penggunaan biogas. Kaedah pelaksanaan melibatkan pengurusan pemakanan kuda untuk penghasilan tinja berkualiti, pra-rawatan tinja untuk meningkatkan kelembapan dan pH, penggunaan digester anaerobik komersial, serta kawalan parameter operasi seperti suhu dan pH. Jangkaan hasil menunjukkan bahawa tinja kuda mempunyai potensi biometana yang tinggi, dengan anggaran pengeluaran biogas antara 0.9 m³ hingga 1.1 m³ sehari. Penggunaan tinja kuda untuk menghasilkan biogas bukan sahaja berupaya menangani isu pelupusan sisa secara lestari, malah menyumbang kepada sasaran negara dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memperkasa agenda tenaga keterbaharuan.
ii. Cadangan Pengurusan Pemakanan Kuda Berasaskan Sumber Tempatan Untuk Kelestarian Industri Ekuin Di Malaysia dibawah segmen Pertanian dan Asas Tani
Industri ekuin di Malaysia berkembang pesat dengan penglibatan dalam sukan, rekreasi, pendidikan, pelancongan, dan terapi berbantu kuda. Namun, industri ini menghadapi cabaran utama dalam pengurusan pemakanan kuda yang masih bergantung kepada sumber import seperti hay dari Australia dan Amerika Syarikat, yang menimbulkan kos tinggi dan ketidaktentuan bekalan. Kajian ini mencadangkan penggunaan sumber makanan tempatan seperti rumput Napier, rumput Brachiaria, dedak padi stabil, daun Leucaena, jagung tempatan, dan silaj sebagai alternatif yang lebih menjimatkan, mudah diperoleh, dan lestari. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kos operasi, memastikan kesejahteraan kuda, dan menyokong kelestarian industri ekuin Malaysia. Penulisan kertas kerja ini melibatkan analisis manfaat, cadangan formulasi diet khusus mengikut kategori kuda, serta potensi pengurusan makanan berdasarkan sumber tempatan. Dengan potensi bahan mentah tempatan dan iklim tropika yang sesuai, Malaysia berpeluang membangunkan model pemakanan kuda yang berdikari dan mampan demi memastikan pertumbuhan industri ekuin yang berterusan dan kompetitif di peringkat serantau.
Leave a Reply